Kes Buli di Kalangan Sekolah
Masalah buli di kalangan
pelajar sekolah semakin hangat diperkatakan oleh masyarakat. Hal
ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai
pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.
Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam
kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin
masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai
puncanya.
Dalam senario pendidikan
sekarang terdapat pelbagai masalah disiplin yang tidak terkawal seperti masalah
tingkah laku antisosial yang membawa kepada kejadian keganasan di kawasan
sekolah. Masalah ini semakin berleluasa dan meningkat ke tahap yang membimbangkan
berikutan dengan beberapa kes buli sejak kebelakangan ini. Akhbar-akhbar
tempatan turut memaparkan pelbagai kes mengenai kemerosotan akhlak di kalangan
pelajar. Masalah buli ini, walau sekecil mana pun, ia mempunyai potensi yang
besar untuk merebak dengan berluasa jika dibiarkan. Maruah dan harga diri
negara kita adalah terletak pada rakyatnya yang sentiasa beretika, bermoral dan
berdisiplin.
Sebagai contohnya, kes Sherman
Mohd Jaafar, 14, mengalami kecederaan parah di tengkuk serta belakang badan
selepas dibelasah oleh lima seniornya di asrama sebuah sekolah menengah di
Tumpat, Kelantan. Kemudian pada 8 Ogos, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah
sekolah menengah di Bandar Bukit Besi, Dungun, Terengganu, Mohd Rizuan Mohd
Hashim, 15 dibuli oleh lima pelajar setingkatannya hingga cedera di beberapa
bahagian badan (Berita Harian, 23 Ogos 2005).
Pada tahun 2010, kes
buli di sekolah mencatat penurunan sebanyak 9.42 peratus dan hasil inin adalah
pelbagai usaha pencegahan yang dilakukan banyak pihak antaranya sekolah, ibu
bapa dan Kementerian Pelajaran. Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad
Zarkashi berkata kementeriannya menerima sebanyak 2,617 laporan kes buli di
sekolah sepanjang tahun lepas berbanding 2,889 kes pada tahun 2009 dan 3,107
kes pada tahun 2008.
Terdapat beberapa punca yang telah dikenal
pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.
Antaranya ialah kekurangan penghayatan
nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam
kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian
orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin
ketandusan nilai kemanusiaan.
Selain itu, ibu bapa yang kurang
memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kepada anak juga menjadi antara
puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan
bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak
mereka.
Di samping itu, para pelajar yang masih
berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh
dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan- kawannya merupakan pembuli,
pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat
diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga
menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin
menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain. Bak kata pepatah ‘tiada
penyakit yang tiada penyembuhnya’.
- Langkah-langkah yang Menyelesaikan Masalah
Kes Buli
Terdapat pelbagai langkah drastik yang
boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah
pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus
menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata
pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik
dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini
merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat
tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya
daripada terbabit dalam kes buli ini.
Selain itu, ceramah atau kempen seperti
kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari
semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala
buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan
sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.
Namun begitu, pihak sekolah juga perlu
sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti
di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya
tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk
membuli mangsanya. Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya
menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para
pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah
masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para
pelajar juga boleh menyebarkan info yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang
lain agar semua pelajar tahu akannya.
Langkah yang lain ialah para pelajar juga
harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah
terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca
buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama.
Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes
buli di sekolah.
Di samping itu, para pelajar juga harus
berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini.
Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli
harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera
agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan
sekolah.
Manakala, pihak sekolah yang telah
menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah
itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu
dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes
buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.
Pihak sekolah boleh berjumpa dengan
pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk
membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan
keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut
agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar
kepada pelajar yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan
peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa
haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan
mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka,
perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa
berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering
mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak
rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan
senget’.
Tambahan pula, di samping mengejarkan
kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa
mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan
memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka
tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak
kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi
meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.