Blogger Widgets

Tuesday 13 March 2012

Kebudayaan Baba & Nyonya







Baba dan Nyonya adalah segolongan keturunan kaum cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina yang terdapat di  Negeri-negeri Selat, Tanah Melayu  (kini sebahagian Malaysia), khususnya di negeri Melaka . Bagaimanapun, sebahagian mereka enggan mengakui bahawa mereka adalah orang Cina tetapi sebaliknya mendakwa bahawa mereka adalah rakyat British dan amat berbangga dengan kedudukan ini. Tambahan pula, mereka mengeji pendatang-pendatang Cina yang baru, dan mempunyai kelab tersendiri yang tidak membenarkan pendatang-pendatang Cina masuk. Mereka memanggil diri mereka sebagai "Baba" atau "Peranakan" kerana kebudayaan  mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di hzaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba". Dari segi anutan, kebanyakannya masih mengekalkan agama tradisional Cina dan Buddha, namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Kristian yang amat popular di kalangan remaja.


Budaya
Kebanyakan pendatang Cina yang terawal sekali berhijrah ke Tanah Melayu adalah daripada kelompok Hokkien. Oleh itu, kebanyakan orang Baba juga adalah Hokkien dan mereka yang berasal daripada keturunan Hokkien masih menganggap diri mereka sebagai orang Hokkien meskipun kebanyakannya tidak pandai bertutur dalam loghat Hokkien. Ada juga orang Baba yang berasal daripada keturunan Kantonis, Hakka dan lain-lain.

Pakaian




Pakaian Nyonya serupa dengan pakaian tradisi Melayu, iaitu terdiri daripada baju kebaya (baju panjang dan batik sarung) dan kerongsang.


Agama
Baba dan Nyonya mengamalkan agama-agama tradisional Cina, menyambut Tahun Baru Cina  dan Perayaan Tanglung, sambil mengamalkan adat resam Melayu dan penjajah barat. Pengaruh Portugis, Belanda, British, Melayu dan Indonesia meninggalkan kesan dalam budaya Peranakan.


Masakan

Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya  masakan " Nyonya"yang menggunakan rempah masakan Melayu. Contohnya ayam kapitan, sejenis kari ayam kering; inci kabin, iaitu  ayam goreng cara Nyonya; dan pindang bandeng, kuah ikan yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina di singapura.

Perkahwinan
Saudagar Cina di Melaka zaman silam gemar menmperisterikan atau mempergundikkan wanita Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera. Hasilnya, suku Baba dan Nyonya memperlihatkan campuran budaya Cina dan Melayu yang bersinergi.

Catatan dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyatakan bahawa lelaki Baba lazimnya mengahwini wanita dalam masyarakat Peranakan setempat. Ada kalanya, keluarga Peranakan membawa masuk pengantin dari China atau menghantar anak perempuan ke China untuk mencari suami.
Orang Peranakan biasanya berkahwin dengan pasangan setempat yang sama darjatnya. Lelaki kaya paling menggemari chin choay atau perkahwinan matrilokal iaitu si suami menyertai keluarga isteri.
Lamaran memerlukan buah tangan pinangan, iaitu bakul berkilau dua tingkat, yang dibawa oleh pengantara yang mewakili pelamar kepada ibu bapa pengantin idaman. Kebanyakan suku Peranakan tidak beragama Islam, sebaliknya memelihara adat penyembahan nenek moyang dari kaum Cina, tetapi ada yang memeluk agama Kristian. Majlis perkahwinan Peranakan yang banyak mengetengahkan tradisi Cina merupakan antara perkahwinan tradisi yang paling berwarna-warni di Malaysia dan Singapura. Majlis diserikan dengan lagu berima spontan dondang sayang yang dinyanyi dalam bahasa Melayu dan ditari oleh para hadirin di jamuan. Pendondang bergilir-gilir menyambungkan lagu bertema asmara sambil menari berpusing-pusing dengan perlahannya. Dondang sayang memerlukan kemahiran berjenaka dan bertikam balas, siapa yang bijak berdondang maka dialah yang meraih gelak ketawa dan tepukan tangan ramai-ramai. Pelat loghat dan cara berbahasa Baba dan Nyonya serta kepandaian menyerikan lagi persembahan.

















No comments:

Post a Comment