Blogger Widgets

Tuesday, 20 March 2012

Dr. Mahathir tidak mampu menukar hari cuti hujung minggu Kedah kepada hari Ahad




Selain dari membina projek mega yang berbentuk infrastruktur seperti lebuh raya, Twin tower KL dan kompleks pusat pentadbiran Putrajaya, Dr. Mahathir juga banyak melakukan perubahan dalam urus tadbir perkhidmatan awam.Antaranya, Dr. Mahathir telah menseragamkan waktu Semenanjung dengan waktu di Sabah dan Sarawak. Walaupun penukaran waktu ini telah menjejaskan sedikit sebanyak cara kebiasaan hidup rakyat di Semenanjung, tetapi lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu.

Akibat pertukaran waktu semenanjung yang awal 30 minit itu menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut, kanak-kanak terpaksa bangun lebih awal untuk ke sekolah, orang dewasa pula tidak sempat hendak minum pagi di rumah sebelum ke tempat kerja.
Dr. Mahathir juga bercita-cita hendak menseragamkan cuti hujung minggu bagi semua negeri-negeri di Malaysia. Ada setengah negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad, manakala setengah lagi cuti hujung minggunya jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu seperti Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu.

Tetapi kerana mengambil kira kekangan politik, Dr. Mahathir tidak mampu untuk melakukan perubahan cuti hujung minggu ini bagi diseragamkan kepada hari Sabtu dan Ahad untuk semua negeri, kecuali negeri Johor.Kepada umat Islam di Malaysia, seperti telah tertanam dalam fikiran mereka, telah mengaitkan hari cuti hujung minggu ini dengan keagamaan. Mereka mengatakan hari Sabtu adalah hari cuti untuk kaum Yahudi, hari Ahad pula adalah hari cuti bagi penganut Kristian. Orang Kristian pergi ke gereja mereka pada setiap hari Ahad.

Kebetulan orang Islam pula wajib sembahyang Jumaat di masjid pada setiap hari Jumaat. Oleh itu mereka bersangka adalah wajar sebagai menghormati hari Jumaat dan sesuai kalau hari Jumaat dipilih sebagai cuti hujung minggu.Sebenarnya kaitan cuti hari Jumaat dengan agama Islam hanyalah prasangka atau andaian yang dibuat-buat sahaja. Ia bukanlah perintah, suruhan, mahupun ajaran Islam yang sebenar. Tetapi parti politik yang berlabel Islam telah memainkan isu cuti hari Jumaat ini sehingga Dr. Mahathir tidak mampu untuk menukar hari cuti hujung minggu terutamanya di Kedah kepada Sabtu dan Ahad.

Di kedah, pengaruh PAS sangat kuat, tidak hairanlah kalau dalam PRU-12 pada tahun 2008 yang dulu PAS boleh menang dengan mudah. Walaupun Dr. Mahathir adalah Ahli Parlimen dari Kedah dan menjadi Perdana Menteri, tetapi bila berdepan dengan isu sensitif yang dikaitkan dengan Islam, beliau tidak mampu berbuat apa-apa. Semasa Johor menukar cuti hujung minggunya dari Khamis dan Jumaat kepada hari Sabtu dan Ahad, saya baru saja beberapa tahun menetap di Johor setelah pindah dari Kuala Lumpur. Semasa itu Johor di bawah Menteri Besar Muhyiddin Yasin.

Johor adalah negeri yang boleh dikatakan hampir 100% orang Melayunya menyokong UMNO. Tidak banyak tentangan dari orang Melayu Johor bila cuti hujung minggu negeri itu ditukar dari hari Jumaat kepada hari Ahad, kalau ada pun, hanya dari orang-orang yang bergelar ahli agama, termasuklah pak Imam dan guru-guru agama. Tetapi tentangan mereka itu pun bukan secara terang-terang, hanya cakap-cakap belakang saja. Lama kelamaan padam begitu saja. Apatah lagi mereka juga berpegang kuat kepada seruan agama supaya mentaati pemimpin.

No comments:

Post a Comment